Tuesday, March 1, 2011

Tubersilosis...[ TB ]...Batuk Kering

Pengenalan

Apakah batuk kering?..TB

Batuk kering adalah disebabkan oleh jangkitan kuman 'tubercle bacilli'. Ia disebarkan oleh titisan udara apabila pesakit yang mempunyai kuman yang aktif batuk. Paru-paru adalah organ utama yang selalu dijangkiti. Ia juga boleh melibatkan otak, tulang, kelenjar limfa, buah pinggang dan kulit. Batuk kering yang menyerang paru-paru dikenali sebagai 'pulmonary tuberculosis'. Terdapat sebanyak 100 juta penduduk diseluruh dunia dijangkiti batuk kering dimana 8 juta mempunyai jangkitan yang aktif. Sebanyak 2 juta pesakit maut. Pada tahun 2003, sebanyak 15 912 kes batuk kering direkodkan di Malaysia dan 966 dari padanya maut.

Sejarah Program Kawalan Batuk Kering [TB]..Malaysia.

Sebelum peperangan Jepun terdapat sebuah Rumah Kebajikan (Sosial Welfare Home) yang terletak di Batu 3, Jalan Skudai, Johor Bahru (sebahagian daripada Tapak Senaman yang ada sekarang). Rumah Kebajikan Masyarakat itu asalnya adalah sebuah Rumah Sakit Otak (Mental Asylum), kemudiannya dijadikan pula Hospital Pesakit-Pesakit Batuk Kering (Tuberculosis Isolation Hospital) yang dikendalikan oleh Jabatan Perubatan.


Pada bulan Disember, 1945 sebahagian daripada bangunan itu telah diambil alih penyelenggaraannya oleh pihak B.M.A. (British Military Administration) daripada Jabatan Perubatan, dan dijadikan sebuah Pusat Bantuan dan Penerimaan (Relief and Reception Centre) di bawah kelolaan seorang Pegawai Tentera British bernama Lt. B.M. Smith. Pusat ini telah digunakan untuk menempatkan buruh-buruh paksaan yang balik daripada membina "Burma/Siam Death Railway" di Burma dan Siam (Thailand); orang-orang dari negeri jiran yang terdampar di negara ini; pengemis-pengemis dewasa dan kanak-kanak; orang-orang tua; pesakit-pesakit teruk dan orang-orang buta yang tiada tempat kediaman. Pegawai yang menjaga bantuan ketika itu adalah Dato' Awang bin Omar.

HANYA satu hembusan, kuman Tubercle Bacilli mampu berpindah dan menjangkiti ramai individu lain seterusnya 'bersarang' dalam tubuh terbabit bertahun-tahun lamanya. la diam di dalam tubuh seseorang dan menunggu masa; apabila tiba saatnya sistem imunisasi individu itu menjadi lemah antaranya akibat penyakit kencing manis. Aids, barah atau penyakit akibat merokok, kuman itu akan menyerang dan merosakkan organ penghidapnya.


Organ yang paling diminati kuman itu adalah paru-paru selain selaput otak, kelenjar leher dan tulang malah pada tahap kritikal iaitu tanpa rawatan, Tubercle Bacilli mampu menghasilkan kerosakan maksimum sehingga menyebabkan penghidapnya menemui maut.

Penyakit yang dihasilkan kuman itu pernah dikenali sebagai batuk kering di negara ini, suatu ketika dulu. la bagaimanapun digelar Tuberculosis atau Tibi dalam istilah perubatan.

Sejarah menunjukkan Tubercle Bacilli dipercayai wujud sejak 2,500 tahun Sebelum Masihi (BC) tetapi mula dikesan pakar bakteria, Dr Robert Koch pada 1882. Pada zaman awal kajian mengenainya, tibi adalah antara penyakit yang merunsingkan doktor dan ditakuti penduduk dunia. Masakan tidak, dengan sekati hembusan nafas, ia mampu menjangkiti ramai pihak malah kaedah rawatannya pula mengambil masa lama.

Ketua Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datin Dr Aziah Ahmad Mahayiddin, berkata sejarah penyakit itu di Malaysia menyaksikan satu pertiga daripada katil di hospital seluruh negara diisi pesakit tibi, sebelum 1960.

"Menyedari kuman ini cepat merebak, kerajaan memulakan langkah kawalan dengan memperkenalkan Program Kawalan Tibi Kebangsaan (PKTK) sekitar 1960. Empat Pusat Tibi Negara (PTN) diwujudkan iaitu di Kuala Lumpur adalah Hospital Lady Tampler dan IPR, Hospital Permai di Johor dan Hospital Tanjung Rambutan di Perak.

"Antara lain PKTK menyediakan program rawatan yang lebih berstruktur dengan PTN mengawasi kewujudan kes Tibi di seluruh negara, menyediakan langkah kawalan, penyelidikan makmal dan mengasingkan pesakit sepanjang rawatan," katanya.

Penemuan ubat bagi mengatasi penyakit itu kemudian dikomersialkan manakala suntikan BCG bagi meningkatkan sistem imun badan dan mencegah serangan Tibi pada organ luar paru-paru mula diperkenalkan kepada bayi, kanak-kanak berusia tujuh dan 12 tahun.

Hasil penciptaan ubat dan program kawalan yang dilakukan, ramai pihak mula menarik nafas lega apabila statistik graf jangkitan Tibi mula menurun dan berkurangan untuk suatu tempoh lama sehinggakan penyakit batuk kering seolah-olah semakin hilang daripada ingatan penduduk.

Keadaan selesa itu berterusan sehinggalah sekitar awal 1990-an apabila penelitian mendapati statistik graf jangkitan Tibi meningkat Kembali daripada 11,778 kes setahun yang dicatatkan pada 1995, ia melonjak kepada hampir 16,000 kes setahun, tahun lalu.

Mungkin ramai tidak menyedari tetapi Tibi turut menyumbang kepada kematian kira-kira 1,500 penduduk negara ini dalam setahun dan dengan peningkatan jumlah kes, kadar kematian juga dijangka meningkat. Dr Aziah berkata, antara faktor peningkatan kes disebabkan bertambahnya jumlah penghidap HIV, kencing manis dan penyakit yang melemahkan sistem imun badan sehingga tidak mampu melawan kuman tibi selain banyaknya kawasan yang sesak dengan manusia.

"Bagaimanapun, Tibi bukanlah penyakit yang berbahaya dan mampu disembuhkan tetapi ia mudah merebak. Mungkin ada individu yang terdedah kepada bakteria Tibi tetapi tidak sakit kerana sistem imun badan mereka kuat.

"Bagi pesakit yang dijangkiti pula, dengan pengambilan ubat berterusan, mereka mampu sembuh. Berlakunya kes kematian pula disebabkan, pesakit mula mendapatkan rawatan ketika sudah pada tahap kronik selain tidak mengambil ubat mengikut jadual ditetapkan.

"Apabila mereka mengambil ubat selama dua minggu dan berasa sihat, mereka mula mengabaikannya menyebabkan bakteria itu tidak mati sebaliknya menjadi kebal terhadap ubat dan menyerang semula," katanya.

Penyakit Tibi juga dikenal pasti sebagai antara tiga penyakit berjangkit yang paling banyak direkodkan di negara ini setiap tahun selain malaria dan denggi. Tibi juga direkodkan antara penyakit berjangkit yang menyebabkan banyak kematian selain malaria, denggi dan Aids.

Sekitar 33 peratus daripada pesakit Aids maut disebabkan jangkitan Tibi berikutan virus HIV memusnahkan sistem imunisasi tubuh pesakit dan akhirnya bakteria Tubercle Bacilli yang ada dalam badan atau baru berjangkit, merosakkan organ badan.

Pada peringkat global pula, Tibi pernah mencetuskan kebimbangan sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan 'kecemasan global' pada 1993 dan rekod pihak itu menunjukkan hampir tiga juta penduduk dunia yang menghidap Tibi, maut setiap tahun.

Jika Malaysia mencatatkan hampir 16,000 kes penghidap Tibi baru setiap tahun, WHO mencatatkan hampir lapan juta penghidap baru, setiap tahun serta mendahului carta penyakit berjangkit yang membawa kematian.

Berbanding penduduk Malaysia, pendatang asing di negara ini hanya mencatatkan antara 10 hingga 14 peratus kes jangkitan Tibi.

Petikan: Berita Minggu
6 Ogos 2006

LAGI SEJARAH TB DUNIA & MALAYSIA..

WALAUPUN rawatan perubatan moden untuk penyakit tibi adalah yang paling berkesan dan paling murah untuk sesuatu penyakit yang boleh membawa maut, tibi masih lagi merupakan salah satu punca utama kesengsaraan dan kematian di seluruh dunia.


Tibi adalah suatu penyakit berjangkit. Ia merebak melalui udara dan titisan cecair badan daripada pesakit kepada orang lain. Kuman yang menyebabkan penyakit tibi ialah sejenis bakteria dipanggil Mycobacterium tuberculosis.

* Sejarah

Penyakit tibi diketahui wujud sejak dari tahun 8,000 sebelum Masihi di mana terdapat kesan-kesan penyakit tibi di tulang belakang mumia Firaun.

Pada tahun 460 sebelum Masihi, Hippocrates iaitu bapa perubatan telah menamakan penyakit itu sebagai pthisis.

Ibnu Sina di dalam bukunya Kanun Perubatan mengetahui bahawa tibi diumpamakan sebagai suatu penyakit yang berjangkit.

Pada kurun ke-16, tibi dikenali sebagai consumption. Di Malaysia, pada kurun ke-20 penyakit ini dikenali sebagai “batuk kering”.

Pada tahun 1950an, penyakit tibi merupakan pembunuh utama penduduk di Tanah Melayu (Malaya). Pada tahun 1961, Program Kawalan Tibi Kebangsaan ditubuhkan dan semua pesakit tibi dirujuk ke Pusat Tibi Negara di Jalan Pahang, Kuala Lumpur (sekarang dikenali sebagai Institut Perubatan Respiratori).

Pada kurun ke-19, tibi hampir memusnahkan seluruh Eropah dan Amerika. Tibi pada masa itu juga dipanggil hawar putih untuk menyamakannya dengan penyakit hawar hitam (plague) yang telah meragut banyak nyawa di benua Eropah dan Amerika pada kurun ke-18.

“Musuh” kepada kesengsaraan dan kematian manusia ini telah dikenal pasti oleh seorang ahli sains bernama Robert Koch. Beliau menemui bakteria mycobacterium tuberculosis pada 24 Mac 1883.

Mengambil sempena penemuan bakteria pada tarikh itu, 24 Mac telah dijadikan hari memperingati tibi sedunia pada tiap-tiap tahun.

Penyakit tibi tidak mengenal batasan sama ada kekayaan atau kemasyhuran seseorang. Sebagai contoh, Elanor Roosevelt iaitu bekas wanita pertama Amerika dan George Orwell, pengarang buku pada tahun 1984 telah diserang penyakit tibi. Ahli politik ke ahli falsafah, raja-raja ke orang biasa, pelukis ke paderi, doktor ke ahli muzik, semuanya pernah menghidap atau mati disebabkan oleh penyakit tibi.

* Situasi global

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan peningkatan penyakit tibi setiap tahun dan dianggarkan insiden tibi mencecah 12 juta sehingga tahun 2005. Satu pertiga daripada penduduk dunia dijangkiti kuman tibi dan setiap tahun, tibi membunuh hampir dua juta penduduk dunia.

* Tuberkulosis Secara Klinikal

Kuman Mycobacterium tuberculosis merebak melalui udara dan titisan daripada pengidap penyakit tibi aktif.

Selain daripada itu, penyebaran penyakit ini adalah melalui pemakanan di mana pada suatu masa dahulu semasa susu tidak dipasturkan, kuman mycobacterium bovis dari susu lembu diminum dan menyebabkan tibi di bahagian usus.  Tibi juga boleh menjangkiti seseorang di kulit secara terus jika terdapat luka yang terbuka di kulit. Walau bagaimanapun cara yang paling biasa ialah melalui udara yang tercemar dan titisan.

Seseorang yang terdedah kepada udara yang tercemar dengan kuman tibi akan menghidu kuman ke dalam saluran pernafasan melalui hidung, mulut, larinks dan kuman boleh hinggap di mana-mana sahaja bahagian tersebut.

Kuman tibi akan melalui salur pernafasan dan menghinggap di bahagian atas paru-paru (selalunya paru-paru sebelah kanan). Seseorang yang mempunyai sistem daya tahan (imuniti) yang baik boleh melawan kuman tibi ini secara semula jadi. Jangkitan kuman tibi kali pertama juga boleh diatasi dengan tidak memakan apa-apa ubat.

Bagi mereka yang sistem daya tahan badannya rendah (immunocompromised/immunosuppressed), mereka tidak terdaya untuk berbuat demikian . Mereka ini boleh mendapat jangkitan yang terus menular ke dalam salur darah dan limfa atau kedua-duanya sekali. Ini dipanggil tibi primer (Primary Tuberculosis).

Bagi mereka dengan sistem imuniti yang baik, mungkin terdapat 20 peratus kuman tibi hidup secara dorman (tidak aktif) di dalam klasifikasi granuloma (calcified granuloma). Jika pada suatu masa sistem daya tahan badan golongan ini terjejas, kuman-kuman yang dorman itu boleh membiak semula secara aktif dan menyebabkan jangkitan tibi aktif semula (reactivation tibi).

Proses yang berlaku ialah pembentukan granuloma, radang paru-paru dan kaviti-kaviti (lubang-lubang) di dalam paru-paru. Kuman tibi membiak secara aktif di dalam kaviti-kaviti sehingga berjuta-juta kuman berkembang dan apabila pesakit batuk, bercakap atau bersin, berjuta-juta kuman dikeluarkan ke udara seterusnya mencemari udara.


* Rawatan

Rawatan tibi melibatkan pengubatan dikenali sebagai Short Course Chemotherapy (SCC) selama enam hingga sembilan bulan.

Pada dua bulan pertama, iaitu dipanggil fasa intensif, pesakit mengambil ubat pada setiap hari. Pada bulan seterusnya, pesakit mengambil ubat dua hingga tiga kali seminggu yang dipanggil continous atau maintenance therapy.

Pemberian ubat adalah secara DOTS (Directly Observed Therapy Short Course). DOTS adalah kaedah rawatan yang mempunyai lima cabang.

Salah satu cabang DOTS ialah pesakit dimestikan memakan (menelan) ubat di hadapan pemberi rawatan atau di hadapan seseorang yang boleh dipercayai seperti anggota kesihatan, ibu, isteri, ketua kampung dan sebagainya.

Buku rawatan mesti ditandatangani. Ini adalah penting kerana rawatan tibi mengambil masa berbulan-bulan dan pesakit mesti dipastikan memakan ubat tanpa putus. Jika tidak, penyakit boleh datang semula dan kemungkinan kuman tibi akan menjadi rentan (membentuk ketahanan) kepada ubat tibi.


Tanda dan Gejala

Apakah gejala batuk kering?

■Batuk berpanjangan selama 2 minggu atau lebih

■Batuk berdarah

■Demam dan berpeluh pada waktu petang atau malam

■Hilang selera makan atau turun berat badan

■Sakit dada semasa batuk atau bernafas secara dalam

■Mudah letih dan lemah

Apakah perlu saya lakukan sekiranya mempunyai tanda-tanda dan gejala tersebut?

Sekiranya ada, anda perlu dapatkan pemeriksaan:

■Ujian kahak yang dilakukan di klinik kesihatan atau hospital

■X-ray dada

Pengesahan penyakit dan rawatan batuk kering terdapat di mana-mana klinik kesihatan dan hospital kerajaan.

Komplikasi

Adakah batuk kering merbahaya?

Sekiranya tidak dikesan, ia boleh merebak ke otak, tulang, kelenjar limfa, buah pinggang dan kulit. Ahli keluarga dan orang berdekatan dengan pesakit adalah dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Rawatan

Adakah batuk kering boleh sembuh dan apa rawatannya?

Ya, ia boleh sembuh. Rawatan batuk kering di Malaysia menggunakan sistem DOTS (Directly Observed Treatment Short course)yang diiktiraf oleh World Health Organization. Ia bermaksud ubat diambil dibawah pengawasan petugas kesihatan dalam tempoh tertentu.

■Rawatan perlu diambil selama 6 bulan

■Ubat hendaklah diambil dibawah pengawasan petugas kesihatan terlatih sepanjang rawatan

■Rawatan harian untuk 2 bulan pertama diikuti 2 kali seminggu selama 4 bulan

■Sekiranya rawatan diikuti sepenuhnya pesakit dapat sembuh

Pencegahan

Bagaimana saya boleh mencegah batuk kering?

Terdapat beberapa cara pencegahan:

i.Suntikan BCG dapat melindungi kanak-kanak daripada batuk kering. Ia diberikan semasa bayi dan murid darjah 1 sekiranya tiada parut suntikan.

ii.Mendapat rawatan segera sekiranya batuk berpanjangan selama 2 minggu atau lebih.

iii.Ahli keluarga dan orang berdekatan dengan pesakit dinasihatkan mendapat pemeriksaan lanjut.

iv.Pastikan rumah anda menerima cahaya matahari secukupnya kerana ia dapat membunuh bakteria di udara.

v.Membuka tingkap rumah untuk pengudaraan yang baik

vi.Amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang.

Kumpulan sokongan

■Sila rujuk pejabat kesihatan terdekat untuk sebarang pertanyaan

■The Malaysian Association for The Prevention of TB (MAPTB) atau Persatuan TB Tempatan

Laman web untuk maklumat lanjutan :

•http://www.who.int/tb/en/

•http://www.stoptb.org/

SALAH FAHAM MENGENAI BATUK KERING & PENYAKIT  [TB]

SINARIO YANG BOLEH DI KONGSI BERSAMA..?

As'salammualaikum..

Hari nie terdetik di hati aku nak share something dengan u all.. Suatu pengamalam yang sangat mengerikan dalam hidup aku.. Kisahnya begini 3 tahun yang lepas aku pernah mengalami batuk yang berpanjangan.. Dari berminggu sehinggalah berbulan tapi still tak ok.. Ubat batuk jangan cakap la dari ubat yang jenis sirap , pil sehinggalah petua-petua orang lame semuanya aku cuba tapi tetap mengecewakan.Sehinggalah sampai satu tahap tue aku dah mula batuk berdarah..OMG! what happen to me.. Bila dah semakin teruk aku pun pergi la jumpa doktor..Alhamdulillah lega hati bila doktor beritahu aku just batuk biasa je.. Kena kurangkan makanan berminyak , ais batu dan banyakkan minum air suam..

Aku cuba la ikut nasihat doktor tapi batuk aku still berlarutan yang pelik sepanjang aku batuk tak ada sedikit pun mengeluarkan kahak.. Bonda dah semakin risau coz kalau dengar pada bunyi batuk aku nie macam batuk kering.. So atas nasihat keluarga aku dapatkan pula rawatan di hospital.. Tapi malangnya keputusanya tetap sama just batuk biasa.. Orang kata batuk paling lame pun 100 hari tapi kalau dah makan berbulan batuk apa pulak tue...

So bila batuk aku nie dah semakin kerap mengeluarkan darah aku jadi semakin cemas.. Efect juga pada kerja mane taknya bile sekali batuk mesti sakit dada dan nafas pun tercungap-cungap je.. Bila dah tak tahan aku ambil keputusan untuk berubat secara kampung.. Berjumpa la aku dengan seorang ustaz nie yang pernah menetap di Mekah selama berbelas tahun..Apa yang ustaz tue beritahu sangat mengejutkan aku..Ya allah aku kena santau...Aku tak pernah bermusuh mahupun menyakiti hati siapa-siapa pun tapi kenapa aku jadi mangsa ilmu hitam nie..

Bila dah di jelaskan barulah aku faham rupa-rupanya santau yang aku kena nie bukan la di hantar oleh orang tetapi aku tersalah pilih kedai makan..Mungkin orang dengki dengan kedai makan tue jadi pelangganya pun turut terkena tempiasnya.. Alhamdulillah selepas berubat segala darah-darah kotar dalam badan aku dapat di keluarkan dengan cara memuntahkanya.. Selepas pada tue batuk aku beransur-ansur pulih.. Kalau kena pun just batuk-batuk biasa je selepas seminggu dua sembuh la..Tapi ...

Selepas demam hari tue aku mula batuk-batuk balik sehinggalah ke hari nie.. Batuk tidak berkahak dan cuma ada masa-masa je akan batuk.. Aku mula risau takut kejadian lame berulang..Bukan apa menurut kata ustaz tue dulu orang yang terkena santau nie tidak di benarkan memakan makanan yang berbisa seperti nenas , rebung dan cuka tapi baru-baru nie aku ada makan gulai rebung sebab mengidam sangat.. Lepas pada tue batuk aku makin menjadi-jadi tapi nasib baik la tak berdarah.. Makan ubat batuk pun tak berkesan .. aduh risau sangat.. Kalau korang ada pape petua yang dapat menyembuhkan batuk nie please kongsi dengan aku.. SEKIAN CERITA DARI ORANG YANG MUNGKIN SALAH FAHAM MENGENAI PENYAKIT..TB.?


1 comment:

armouris said...

lagi info tentang batuk kering di SIHAT SELALU - Rawatan dan Langkah Pencegahan Batuk Kering (Tibi)